DALAM mengemudi rumah tangga ke arah kebahagiaan hakiki, peranan penting suami dan isteri dalam mewujudkan kasih sayang serta keharmonian seharusnya menjadi keutamaan. Bukan semua rumah tangga yang didirikan tidak pernah 'bergegar'. Kebanyakan mereka yang bahagia mungkin pernah melalui suka duka dalam rumah tangga bahkan pernah melalui saat yang teramat sukar. Namun, kebijaksanaan menanganinya menjadikan ia bagaikan syurga buat suami dan isteri serta tempat anak-anak berlindung yang mendamaikan. Oleh itu, berazamlah menjadi pasangan terbaik untuk pasangan anda. Jika anda mampu melakukannya, sudah pasti kebahagiaan menjadi ganjaran yang tidak ternilai harganya. Terimalah kenyataan mengenai diri anda dan pasangan seadanya. Jangan hidup dalam kepura-puraan, hiduplah dalam dunia realistik. Jangan mengharap pasangan anda terlalu sempurna dan jangan sesekali menyamakan pasangan anda dengan orang lain semata-mata untuk mengambil hatinya. - Berterus terang dengan pasangan Awas! Jangan suka menilai atau membuat tanggapan sendiri mengenai diri dan perasaan pasangan anda. Sebaik-baiknya cuba selami hati dan perasaan pasangan anda. Amalkan sikap berterus-terang antara satu sama lain dan jangan suka memendam perasaan. Sebaliknya, anda perlu menunjukkan perasaan sebenar anda untuk kebahagiaan bersama. - Lakukan segala-galanya bersama Menjalani kehidupan bersama pasangan pastinya lebih bermakna jika anda berdua sering menghabiskan masa gembira dan duka bersama-sama. Oleh itu bermula hari ini, cuba ubah kebiasaan hidup anda. Pastikan anda melakukan segala aktiviti bersama pasangan untuk mengeratkan kemesraan dan menambahkan lagi kefahaman antara satu sama lain. Jika pasangan anda gemar menonton teater, jangan biarkan si dia pergi bersendirian. Jika si dia gemar membeli-belah, jangan biarkan si dia menghabiskan masa gembiranya bersama teman-teman atau anak-anak. Sertai pasangan anda dan cuba cintai aktiviti kegemarannya atau setidak-tidaknya cuba tunjukkan sokongan anda yang tidak berbelah bahagi. - Faham memahami dan bertolak ansur Sikap faham memahami dan bertolak-ansur amat penting dalam sesebuah ikatan suami isteri. Tanpa dua ciri penting ini, sudah pasti ikatan suami isteri mudah goyah kerana hubungan antara suami isteri sentiasa dibelenggu kemarahan, rasa tidak puas hati dan dendam yang tidak sudah. Terimalah kelemahan dan kekurangan pasangan anda. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sebaliknya fikirkan juga kepentingan dan kebahagiaan pasangan anda. Jika pasangan anda bahagia sudah pasti anda juga turut menerima tempias kebahagiaannya. - Tunjukkan cinta buat si dia Belikan minyak wangi, jam tangan, bunga atau coklat untuk si dia. Atau sesekali masak hidangan istimewa buat pasangan anda untuk menunjukkan cinta dan kasih sayang mendalam anda terhadapnya. Anda tidak perlu menunggu hari tertentu seperti hari lahir atau ulang tahun perkahwinan untuk melakukan kejutan buat pasangan anda kerana dengan cara sebegini pasangan anda pasti akan merasa terharu dan disayangi. - Hormat antara satu sama lain Berhenti daripada tabiat menyindir pasangan anda. Usah memperkecilkan gaya rambut isteri anda semata-mata untuk menyakitkan hati dan perasaannya atau hanya bermaksud untuk mengusiknya. Sebelum berkata sesuatu, tanya diri sendiri sama ada pasangan anda dapat menerima kata-kata anda dengan hati terbuka atau sebaliknya. Belajarlah menghormati pasangan anda dengan menerima segala kelemahan dan kekurangannya serta tidak menjadikannya satu bahan jenaka mahupun sindiran. - Lupakan peristiwa lalu Jangan suka mengungkit masa silam pasangan anda. Jangan sesekali bercerita keseronokan kisah cinta anda dengan bekas kekasih lama. Sikap anda hanya akan mengguris perasaan pasangan dan ia boleh menyebabkan kekeliruan. Mungkin pasangan anda beranggapan anda masih menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih atau lebih teruk si dia menganggap anda cuba untuk menyambung kembali hubungan yang terputus. - Buang sikap cemburu Cemburu memang perlu dalam sesebuah perhubungan, tetapi jika keterlaluan ia akan menyusahkan pasangan dan akan menghancurkan sesebuah rumah tangga. Kalau anda sering menyelongkar barang milik pasangan, mencuri baca diari atau pesanan ringkas telefon bimbit pasangan, anda perlu hentikan segera tabiat buruk ini. Ingatlah sikap cemburu buta boleh meracuni kebahagiaan rumah tangga anda berdua. Beri kepercayaan penuh kepada pasangan anda dan sentiasa berfikiran positif. - Tunjukkan komitmen anda pada pasangan Pastikan pasangan anda menjadi keutamaan dalam hidup anda. Jangan sesekali mengecewakan pasangan anda dalam apa jua situasi. Cuba tunjukkan komitmen anda terhadap pasangan dan pastikan sentiasa berada di sisinya di saat si dia berada di dalam kesusahan mahupun kesenangan. - Jujur Kejujuran mampu mewujudkan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga. Bercakap benar lebih baik daripada membohongi perasaan pasangan anda semata-mata untuk menyedapkan hatinya. Jika anda membohongi pasangan anda, keseronokan yang dirasainya hanyalah sementara sebaliknya apabila tembelang anda pecah, pasangan anda akan menderita seumur hidupnya. Anda perlu jujur pada diri anda terlebih dulu dan seterusnya anda juga perlu jujur terhadap pasangan anda. |
__,_._,___
Tiada ulasan:
Catat Ulasan