Safety Manual / POLISI KESELAMATAN DAN KESIHATAN


POLISI KESELAMATAN DAN KESIHATAN GL JAYA PRINT SDN BHD

Adalah menjadi polisi keselamatan dan kesihatan pekerjaan syarikat GL Jaya Print Sdn Bhd iaitu:-

Kami bersama-sama para pekerja GL Jaya Print Sdn Bhd, akan selalu berusaha untuk mengekalkan dan memastikan tempat bekerja kami berada di dalam keadaan yang selamat dan sihat pada sepanjang masa.

Objektif kami ialah untuk:-

1. Menyediakan cara bekerja dan tempat bekerja yang selamat kepada pekerja-pekerja kami, supaya risiko kecederaan, kemalangan dan kerosakan harta benda benda dapat dikurangkan.

2. Melindungi semua pekerja kami, dari sebarang bahaya yang boleh memudaratkan

keselamatan dan kesihatan mereka pada sepanjang hari mereka bekerja.

3. Melindungi pelawat-pelawat dan kontraktor-kontraktor kami, daripada sebarang bahaya pada sepanjang masa semasa mereka berada di dalam premis syarikat.

4. Memastikan segala aktiviti-aktiviti dan pengeluaran sisa dari proses pengeluaran syarikat tidak memberi musibah kepada manusia dan alam sekitar.

5. Menyediakan latihan kepada semua pekerja-pekerja berkenaan perihal tanggungjawab masing-masing dalam hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

6. Memastikan setiap orang (pekerja, pelawat, kontraktor) mematuhi segala peraturan keselamatan dan kesihatan syarikat pada sepanjang masa.

7. Memastikan semua peralatan perlindungan dan pencegahan kebakaran, alat-alat pemadam api dan prosedur latihan kecemasan semasa kebakaran diatur dan diselenggara dengan elok serta mampu berfungsi di kala kecemasan dan kebakaran sebenar.

8. Menyediakan kemudahan perubatan dan alat-alat bantuan kecemasan yang berpatutan kepada semua pekerja.

9. Memastikan segala aspek keselamatan diutamakan dalam peringkat awal sesuatu pemasangan atau penggunaan proses, jentera, bahan kimia dan lain-lainnya adalah sebagai satu langkah pencegahan awal.

10. Mematuhi segala undang-undang dan peraturan-peraturan kerajaan di dalam hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar syarikat kami.


TUGAS PENYELIA

Berdasarkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Bahagian IV Kewajipan Am Majikan dan Orang yang Bekerja Sendiri, Seksyen 15 (1-2);

1. Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan memastikan setakat praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

2. Kewajipan Am Majikan dan Orang Bekerja Sendiri meliputi;

(a) pengadaan dan penyenggaraan loji dan sistem kerja yang setakat praktik, selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
(b) pembuatan perkiraan bagi menjamin setakat yang praktik, keselamatan dan ketiadaan risiko kepada kesihatan berkaitan dengan penggunaan atau pengendalian, penanganan, penyimpanan, dan pengangkutan loji dan bahan.
(c) pengadaan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana yang perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan dan kesihatan pekerjanya sedang berkerja.
(d) setakat yang praktik, penyenggaraan dalam keadaan selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan dan pengadaan dan penyelenggaraan cara masuk ke dalamnya dan keluar darinya yang selamat dan tanpa risiko.
(e) pengadaan dan penyelenggaraan persekitaran setakat praktik, kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.

Seseorang yang melanggar peruntukan seksyen di atas boleh didenda tidak melebihi RM 5000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, adalah menjadi kewajipan penyelia;

1. Memastikan tempat kerja dan sistem bekerja yang selamat di sediakan dan diselenggara tanpa risiko kepada keselamatan dan kesihatan pekerja.

2. Memastikan para pekerja di bawah seliaanya menggunakan bahan kimia berbahaya, mesin-mesin pengeluaran, peralatan kerja, loji, pemasangan sistem elektrikal dan mekanikal, pemanduan trak angkat susun dan lain-lainya dalam keadaan betul, teratur dan selamat.

3. Memastikan para pekerja memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dengan betul dan dalam keadaan baik dengan melakukan pemeriksaan dari masa ke semasa.

4. Memastikan tempat kerja di bawah kawalannya selamat dan sihat serta mengikut peraturan-peraturan keselamatan dan kesihatan. Memastikan kawasannya berada dalam keadaan bersih dan teratur mengikut sistem 5S.




5. Melaporkan kemalangan industri kepada pihak pengurusan GL Jaya Print Sdn Bhd dalam masa satu jam selepas kejadian kemalangan secara lisan, telefon, SMS atau email. Panduan pelan tindakan kecemasan kemalangan dan nombor untuk dihubungi dipaparkan di papan kenyataan.

6. Melaporkan kepada semua kemalangan jalan raya ke bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia GL Jaya Print Sdn Bhd.

7. Memastikan agenda keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar diutamakan dalam mesyuarat atau seksyen.

8. Memastikan semua pekerja dan kontraktor di bawah seliaanya diberi latihan yang mencukupi dalam bidang keselamatan, kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar.

9. Memastikan setiap maklumat dan mesej keselamatan, kesihatan dan pemeliharaan alam sekitar mengikuti maklumat satu muka surat (One Point Instruction) yang disampaikan kepada pekerja bawahan melalui pemberitahuan atau perbincangan.

10. Memberikan kerjasama dengan jabatan lain sewaktu pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan, SIRIM dan Kesihatan Pekerjaan dan lain-lain jabatan kerajaan yang berkaitan.



























KETUA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

1. GL Jaya Print akan diwakili oleh seorang Ketua Keselamatan

2. Perlantikan ketua keselamatan akan dibuat dengan cara perlantikan terus oleh pihak pengurusan.

3. Setiap pekerja digalakkan untuk memberi kerjasama secara langsung dengan memberi sebarang cadangan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di dalam kilang dari masa ke semasa.


KEWAJIPAN AM PEKERJA

1. Selagi ianya munasabah dan praktikal adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap pekerja yang sedang bekerja sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Keselamatan da Kesihatan Pekerjaan 1994, Bahagian VI Kewajipan Am Pekerja, Peraturan 24, sub-peraturan (1-2) dengan cara;

Memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja.

Bekerjasama dengan syarikat atau mana-mana orang lain dalam menunaikan kewajipannya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjamin.

Memakai dan menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau peralatan perlindungan diri di sediakan oleh syarikat bagi mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatan.

Mematuhi arahan atau langkah keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan oleh syarikat.



PERATURAN UMUM KESELAMATAN

Peraturan ini, secara umumnya hendaklah dipatuhi selagi ianya munasabah dan praktikal oleh setiap pekerja, kontraktor dan pelawat pada sepanjang masa bekerja.

1. Semua pekerja hendaklah memahami dan mematuhi dengan peraturan keselamatan jabatan masing-masing.

2. Sebarang bentuk gurauan yang membahayakan diri sendiri dan orang lain tidak boleh dilakukan oleh pekerja dalam kilang sewaktu bertugas.

3. Berlari di dalam kilang mestilah dielakkan. Jika berlaku kecemasan berjalanlah dengan pantas.

4. Peralatan keselamatan seperti penanda amaran keselamatan, injap keselamatan, kekunci atau perlindungan elektrikal dan mekanikal pada mesin, penggera loceng kecemasan tidak boleh di ubah tanpa diberitahu.

5. Jalan pintas yang tidak selamat seperti menyeberangi mesin longkang, saluran paip dan lain-lain hendaklah dielakkan. Gunakan laluan yang dibenarkan.

6. Sebelum memulakan tugas di kawasan yang menggunakan bahan kimia seperti bahan kimia mengkakis, pekerja mestilah memakai peralatan perlindungan diri, mengetahui lokasi terdekat mandian paip hujan kecemasan, pencuci mata, mengetahui lokasi peralatan kecemasan seperti alat pemadam api, peti keselamatan, pengawalan tumpahan kimia dan sebagainya di kawasan tempat dia bekerja.

7. Semua bekas seperti botol, jag, tin, kotak dan lain-lain yang mengandungi bahan kimia atau telah tercemar oleh bahan kimia mestilah ditanda dengan betul dan disimpan ketempat-tempat yang selamat.

8. Bahan-bahan kimia mudah terbakar dan toksik tidak boleh dibuang atau dicampakkan ke dalam tong sampah, parit atau sungai.

9. Semua pekerja haruslah membantu mengawasi amalan keselamatan bagi setiap pekerja yang lain.

10. “DILARANG MEROKOK” di dalam bangunan dan di dalam kawasan kilang. Merokok di tempat yang dibenarkan sahaja “ZON MEROKOK”.

11. Gunakan alat perlindungan diri yang dibekalkan oleh syarikat.

12. Peralatan kecemasan seperti alat pemadam api, pencuci mata, peti keselamatan dan lain-lain hanya boleh digunakan jika timbul kecemasan. Dilarang sama sekali merosakkan atau menyalahgunakan peralatan tersebut.

13. Jangan memakai barang-barang yang boleh terperangkap ke dalam mesin atau kejutan eletrik seperti rantai, gelang, anting-anting, baju yang longgar dan sebagainya apabila bekerja, terutamanya di bahagian pengeluaran.

14. Semua laluan dan pintu kecemasan hendaklah tidak berkunci dan bebas daripada sebarang halangan.

15. Kemaskan segala peralatan / perkakas daripada mesin / peralatan yang berkaitan, di tempat yang di sediakan selepas menggunakannya.

16. Pastikan cara mengangkat, membawa dan mengalihkan barang dengan betul bagi mengelakkan sebarang kecederaan otot dan anggota badan.

17. Semua sumber eletrik, air dan gas mesti dipadamkan atau ditutup semasa waktu tidak bekerja dan memastikan dengan betul sebelum meninggalkan tempat kerja.

18. Jangan usik atau menyalahgunakan suis saling kunci keselamatan atau alat sensor keselamatan.

19. Semak di papan kenyataan keselamatan dan kesihatan untuk mengetahui informasi terbaru tentang keselamatan dan kesihatan.


MELAPORKAN KEMALANGAN

1. Seseorang pekerja yang terlibat dalam kemalangan atau mengalami penyakit pekerjaan, keracunan bahan kimia, hendaklah melaporkannya kepada penyelia, line leader atau pegawai keselamatan dan kesihatan dalam masa sejam selepas kejadian kemalangan atau waktu yang sama secepat mungkin.

2. Pemberitahuan kemalangan perlulah mengisi borang pemberitahuan kemalangan kejadian berbahaya yang di sediakan dan borang ini hendaklah ditulis oleh pihak penyelia sebelum dihantar kepada pegawai keselamatan dan kesihatan.

3. Mestilah memberi kerjasama kepada syarikat atau orang lain yang menjalankan penyiasatan berkaitan dengan kemalangan atau kejadian tersebut.

4. Seseorang pekerja yang terlibat dalam kemalangan jalanraya (pemandu atau penumpang) hendaklah melaporkan kemalangan tersebut kepada penyelia, line leader atau pegawai keselamatan dan pihak Jabatan Pentadbiran dan Sumber Manusia dengan secepat mungkin.


PERALATAN PERLINDUNGAN DIRI (PPE)

1. Peralatan perlindungan diri (PPE) merangkumi semua peralatan yang dipakai untuk melindungi pekerja dari risiko yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan pekerja.

2. Alat perlindungan diri hendaklah dipakai secara praktikal sepanjang masa atau setiap kali terdedah kepada risiko yang diketahui atau apabila anda diarah berbuat demikian.

3. Alat perlindungan diri perlu disimpan dalam keadaan yang bersih dan kering selepas digunakan.

4. Jika alat perlindungan diri rosak atau hilang, mintalah yang baru daripada penyelia anda.







5. Garis panduan piawaian pencegahan:-


5.1 TELINGA: Pekerja yang bekerja ditempat bunyi bising yang kuat melebihi tahap yang dibenarkan sepanjang masa, mestilah dibekalkan dengan penyumbat telinga (ear plug) yang sesuai dan dibersihkan setiap hari.

5.2 HIDUNG: Setiap pekerja yang terdedah kepada wap, gas-gas yang boleh mencederakan, habuk, toksik atau persekitaran yang berbahaya atau persekitaran yang kurang oksigen mestilah dibekalkan dengan peralatan bantuan pernafasan yang sesuai.

5.3 TANGAN: Setiap pekerja yang terlibat dalam proses yang menggunakan benda tajam, objek meleleh, bahan kimia berbahaya, logam panas atau bahan yang merengsa mestilah dibekalkan dengan sarung tangan yang sesuai.

5.4 BADAN: Baju kerja hendaklah padan dan sesuai dengan persekitaran kerja supaya tidak menimbulkan risiko yang lain.

5.5 KAKI: Pekerja hendaklah sentiasa menggunakan kasut yang sesuai dengan persekitaran kerjanya bagi perlindungan yang mencukupi.


PENGENDALIAN SECARA MANUAL

1. Pengendalian (Mengangkat) Secara Manual, boleh mengakibatkan kecederaan belakang yang serius dan teruk sekiranya tidak mengikut cara yang betul. Pastikan dahulu saiz, berat, bentuk objek dan jarak perjalanan.

2. Belajar cara yang betul mengenai teknik pengendalian secara manual.

















3. Mengangkat dan menurunkan muatan dengan cara yang betul.

3.1 Rancang dahulu proses mengangkat muatan yang lancar.

3.2 Pastikan kaki anda berada dalam posisi yang betul dan berdiri serapat mungkin dengan muatan.

3.3 Bengkokkan lutut dan luruskan belakang badan.

3.4 Pegang objek dengan tangan yang kukuh, dan angkat kepala apabila mengangkat muatan.

3.5 Angkat muatan menggunakan kaki dengan stuktur badan yang lurus.

3.6 Letakkan muatan di atas permukaan yang kukuh dan rata, semasa menurunkan beban bengkokkan lutut dan bukan bahagian belakang badan.

4. Pertimbangkan risiko yang mungkin berlaku sebelum memulakan pengendalian (mengangkat) secara manual.

5. Sentiasa ingat had kemampuan anda, jangan cuba sesuatu yang tidak mampu dilakukan.

6. Gunakan pengangkat mekanikal (trolley) jika muatan tersebut besar, atau sukar untuk dikendalikan (janggal dari saiz atau bentuk).
7. Dapatkan bantuan secara berpasukan, sekurang-kurangnya dua orang jika muatan tersebut sederhana beratnya, atau sukar untuk dikendalikan.

8. Pastikan dahulu saiz, berat, bentuk objek dan jarak perjalanan.

9. Pastikan juga keadaan lantai licin atau tidak rata ataupun terdapat halangan yang boleh membahayakan anda.


KESELAMATAN ELETRIK

1. Langkah-langkah berwaspada ketika bahaya atau hazad eletrik.

1.1 Laporkan semua kerosakan eletrik dengan segera.

1.2 Dapatkan seorang jurueletrik yang bertauliah untuk menyenggara, membaiki atau membetulkan peralatan eletrik tersebut.

1.3 Jangan pasang atau membaiki soket dan palam kecuali anda terlatih dan dibenarkan berbuat demikian.

1.4 Jangan putuskan wayar pin bumi sebelum memasukkan palam ke dalam soket.

1.5 Jangan sentuh suis atau peralatan eletrik sekiranya tangan anda basah.

1.6 Bekalan eletrik ke sebuah mesin perlu dimatikan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja atau aktiviti berikut dijalankan:-

a) Kerja-kerja membaiki dan penyelenggaraan eletrik.

b) Pembersihan mesin, apabila terdapat kemungkinan persentuhan secara fizikal dengan alat-alat dalam mesin yang bergerak bagi mengelakkan bahaya eletrostatik.


KESELAMATAN MESIN

1. Periksa dan uji suis kekunci keselamatan (interlock switch) dan sensor keselamatan sebelum menjalankan mesin.

2. Pastikan bahawa semua pengadang (guarding) mesin dalam keadaan baik dan tempat yang betul.

3. Jika pengadang (guarding) mesin didapati hilang atau rosak, laporkan segera kepada penyelia.

4. Anda mesti matikan bekalan eletrik sebelum kerja-kerja membersihkan hendak dijalankan.

5. Jangan biarkan mesin bergerak tanpa pengawasan.

6. Ketahui cara bagaimana untuk hentikan mesin jika berlaku kecemasan.

7. Gunakan berus atau penyepit yang di sediakan sahaja bagi membersihkan atau untuk digunakan pada mesin.

8. Jangan tanggalkan atau mengganggu pengadang mesin, sensor atau suis kekunci keselamatan tanpa kebenaran.

9. Jangan memanjat mesin. Gunakan pelantar yang sesuai atau tangga.

10. Pastikan kawasan sekitar mesin tiada halangan dan tiada sampah sarap yang boleh mengganggu operasi atau mengancam keselamatan.

11. Gunakan pelapik kaki yang ergonomik sewaktu melakukan kerja-kerja berdiri.

12. Pastikan S.O.P (Safe Operating Procedure) dilekatkan berdekatan dengan mesin dan dapat dilihat dengan jelas. Patuhi semua arahan operasi.




KESELAMATAN UDARA TERMAMPAT

1. Udara termampat (contoh: air gun) boleh mendatangkan bahaya dan jika menggunakannya secara tidak selamat boleh menyebabkan kecederaan yang serius.

2. Kecederaan mata, kecederaan kerana hentaman dan kesan habuk yang terlalu tinggi adalah kesan daripada penggunaan udara termampat secara tidak selamat.

2.1 Jangan menggunakan udara termampat secara terus ke bahagian badan anda atau ke atas orang lain.

2.2 Jangan gunakan udara termampat untuk membersihkan pakaian & rambut anda.

2.3 Jangan bergurau senda sambil menggunakan udara termampat.

2.4 Jangan cuba memotong bekalan udara termampat dengan “MEMBELITKAN’ hos. Gunakan injap untuk menutupnya dahulu.

SELALU

2.5 Gunakan cermin mata keselamatan, perlindungan pendengaran dan topeng habuk semasa menggunakan udara termampat untuk digunakan ke atas mesin & bangunan.

2.6 Penggunaan hos yang panjang hendaklah dikawal dan haruslah diposisi yang tidak akan menyebabkan bahaya tersangkut/tersadung.

2.7 Pegang dibahagian hujung hos apabila ingin membuka udara termampat supaya hujung hos tersebut tidak bergerak secara rawak.

2.8 Gunakan alat perlindungan diri iaitu cermin mata keselamatan & perlindungan pendengaran apabila menggunakan peralatan pneumatik dan gunakan secara cermat. Sekiranya ada keraguan terhadap operasi tersebut, sila rujuk kepada penyelia anda.

KESELAMATAN MEMANDU TRAK ANGKAT SUSUN (FORKLIFT)

1. Sebelum menggunakan trak angkat susun.

1.1 Trak angkat susun hanya boleh dikendalikan oleh orang yang telah diberi kebenaran pihak syarikat atau telah diberi latihan asas dan dibenarkan mengendalikan trak angkat susun dalam tempoh percubaan.

1.2 Sebelum menggunakan trak angkat susun, lakukan pemeriksaan fizikal dan mekanikal trak angkat susun seperti keadaan “fork”, fungsi hidraulik, bunga tayar, dan lain-lain.

1.3 Laporkan serta-merta kerosakan trak angkat susun kepada penyelia.

1.4 Gunakan tali pinggang keledar, topi keselamatan dan alat perlindungan diri yang sesuai.

2. Semasa mengendalikan trak angkat susun.

2.1 Pastikan had muatan mengikut yang dibenarkan dan had berat trak angkat susun.

2.2 Pandu dalam had laju yang dibenarkan, (5 Km/j untuk didalam kilang dan 15 Km/j untuk di luar premis kilang).

2.3 Dilarang memandu trak angkat susun ke jalan raya.

2.4 Pandu trak angkat susun secara undur sekiranya muatan berada di atas fork yang menghalang pandangan depan. Semasa mengundur kebelakang pastikan pemandu mengalih pandangan ke belakang untuk memastikan tiada orang atau objek di belakang.

2.5 Bunyikan hon untuk memberi amaran kepada orang-orang yang berada berdekatan, terutama di selekoh yang tajam.

2.6 Berhati-hati dengan halangan atas kepala dan muatan tidak melebihi lebar laluan jalan.

2.7 Turunkan fork keparas kira-kira 8” dari lantai apabila bergerak tanpa muatan atau dengan muatan.

2.8 Jangan pandu trak angkat susun dengan membawa muatan di paras yang tinggi.

2.9 Dilarang menggunakan trak angkat susun untuk mengangkat atau membawa penumpang.

2.10 Jangan berhenti secara mengejut. Gunakan kaki kanan untuk pedal minyak dan brek, bukan kaki kiri.
3. Selepas mengendalikan trak angkat susun.

3.1 Jangan tinggalkan kunci penghidup enjin pada trak angkat susun selepas ianya digunakan.

3.2 Hentikan trak angkat susun di tempat yang telah ditetapkan.

3.3 Tinggalkan trak angkat susun dengan fork direndahkan sepenuhnya ke paras lantai.

3.4 Jaga kebersihan trak angkat susun.


BAHAN KIMIA BERBAHAYA

1. Penlabelan

1.1 Semua bekas simpanan bahan kimia perlu dilabelkan dengan jelas.

1.2 Baca label dengan teliti sebelum membuka bekas bahan kimia.

1.3 Pastikan bahawa bahan kimia berkenaan adalah jumlah sebenar yang diperlukan.

1.4 Bekas kosong mestilah dilabelkan juga (BEKAS KOSONG).

2. Mengendalikan bahan kimia

2.1 Patuhi dengan teliti arahan yang diberikan pada label.

2.2 Rujuk kepada Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia (Chemical Safety Data Sheet – CSDS) bahan kimia tersebut untuk mengetahui jenis, bahaya, langkah kecemasan dan sebagainya.

2.3 Kendalikan bahan kimia dengan hati-hati dan teratur mengikut prosedur kerja selamat (Safe Operating Procedure – SOP).

2.4 Gunakan alat perlindungan diri yang sesuai contoh seperti sarung tangan, apron, respirator.

2.5 Elakkan sentuhan secara terus antara anggota badan dengan bahan kimia. Elakkan juga daripada terhidu wasap bahan kimia.

2.6 Jangan makan, minum atau merokok semasa mengendalikan bahan kimia.

2.7 Pastikan bekas kimia ditutup dengan rapi dan tidak dibiarkan terdedah begitu sahaja.

2.8 Jangan campurkan bekas yang kosong dengan bekas yang berisi bahan kimia.

2.9 Jika berlaku tumpahan bahan kimia, beritahu kepada penyelia.

3. Penyimpanan bahan kimia

3.1 Simpan bahan kimia di tempat yang selamat atau ditetapkan selepas digunakan.

3.2 Asingkan bahan kimia mengikut jenisnya, jangan campur-adukkan semua bahan kimia tersebut seperti menyimpan asid dan alkali di dalam satu kabinet.


KESELAMATAN DI PEJABAT

1. Simpan benda yang berat pada paras yang rendah.

2. Tutup laci selepas digunakan.

3. Masukkan kerusi dibawah meja jika tidak digunakan.

4. Matikan suis eletrik selepas digunakan.

5. Simpan objek tajam seperti pin, paku tekan, pisau dan gunting dalam bekas yang berasingan.

6. Jangan betulkan sendiri jika berlakunya kerosakan eletrik, minta bantuan juruteletrik yang bertauliah.

7. Jangan halang laluan pintu kecemasan.

8. Jangan halang laluan ke panel eletrik.

9. Jangan halang laluan ke alat pemadam api.

10. Jangan simpan barang di bawah meja tempat anda bekerja. Ia boleh menghadkan keselesaan ruang kaki.

11. Jangan susun kotak atau muatan lain di atas kabinet dan almari.

12. Jaga kebersihan pejabat, lakukan 5S.

13. Kemaskan meja sebelum pulang setiap hari.




PLAN PENGUNGSIAN BANGUNAN

1. Polisi Pengungsian bangunan.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap Pengurus dan Penyelia di syarikat bagi memastikan setiap pekerja di bawah penyeliaannya tahu bagaimana hendak menyelamatkan diri mereka ketika kecemasan kebakaran.

2. Prosedur pengungsian bangunan.

Pengungsian bangunan yang teratur adalah bergantung kepada amaran awal dan kesedaran pekerja akan prosedur pengosongan yang teratur yang perlu diikuti.

a) Setiap jabatan mestilah mempunyai prosedur pengosongan masing-masing.

b) Gunakan sistem ‘Break Glass Alarm’ pada jabatan tertentu bagi memberi amaran pengosongan kepada pekerja. (nota : Rancangan masa depan)

c) Arahan Kecemasan yang ringkas mestilah dipamerkan pada lokasi-lokasi yang strategik didalam setiap bangunan termasuk lakaran peta laluan keluar semasa kecemasan.

d) Latihan Kebakaran mestilah dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali.

e) Tanda-tanda pintu kecemasan atau sebarang bentuk petunjuk yang mengarah kepadanya mestilah jelas dan terang.

3. Bidang-bidang tugas.

Pekerja

a) Jangan Panik.

b) Ambil langkah-langkah yang perlu dengan segera dan munasabah bagi menggurangkan sebarang hazad pada kerja-kerja yang ditinggalkan. Keluar segera dan jangan masuk kembali ke dalam bangunan.

c) Berkumpul dilokasi ‘Tempat Berkumpul Ketika Kecemasan’ untuk pemeriksaan kedatangan.

d) Jangan masuk ke dalam bangunan sehingga pengistiharan arahan ‘Keadaan Terkawal’ dibuat oleh pihak yang berkuasa.

Penyelia

a) Beri arahan keluar bangunan pada pekerja bawahannya.

b) Beri nasihat kepada pihak tertentu (contoh – Skuad Penyelamat Syarikat [ERT], Sekuriti, Bomba dan lain-lain) tentang situasi kebakaran dan membuat lapuran tentang mangsa kebakaran.

c) Menyemak kedatangan pekerja.







4. Prosedur pengumuman kecemasan oleh Pihak Pengurusan.

“ PERHATIAN KEPADA SEMUA PEKERJA!!
INI ADALAH SUATU KECEMASAN!! KEBAKARAN TELAH DIKESAN DI …………………. ! SEMUA PEKERJA DIMINTA UNTUK MENGOSONGKAN BANGUNAN DENGAN SEGERA. SILA BERKUMPUL DI LUAR. JANGAN PANIK.”

5. Prosedur pengungsian pekerja.
Apakah pekerja perlu lakukan semasa latihan mengosongkan bangunan semasa kecemasan?
Apabila menerima isyarat kecemasan
a) Berhenti kerja dengan serta merta
b) Dengar arahan yang diberikan oleh penyelia.
c) Tutup suis mesin, komputer dan alat elektrik yang berada dekat dengan anda bekerja
d) Pergi ke penyelia anda dan tunggu arahan.
e) Keluar dari bangunan
f) Keluar tanpa membuka PPE atau pakaian yang anda pakai
g) Jangan pergi mengambil barang kepunyaan anda di tempat lain
h) Jangan berlari tetapi hendaklah berjalan dengan cepat
i) Jangan berbual-bual

JENIS-JENIS ALAT PEMADAM API MUDAH ALIH

1. Terdapat 1 jenis alat pemadam api mudah alih di dalam GL Jaya Print Sdn Bhd.

JENIS WARNA TABUNG KEGUNAAN
A Serbuk kering (ABC) Biru Semua jenis bahan api.

2. Bagaimana menggunakan alat pemadam api dengan betul.

2.1 Tarik pin dan muncung hos.

2.2 Tekan pemegang dan halakan muncung ke punca api.

2.3 Jarakkan di antara anda dan api lebih kurang satu meter.


KESELAMATAN JALAN RAYA

1. Pastikan anda dilengkapi dengan lesen-lesen yang sah mengikut undang-undang jalan raya yang ditetapkan.

2. Pastikan anda telah memeriksa keadaan kereta anda, lakukan penyelenggaraan kereta sebelum berlakunya kerosakan.

3. Patuhi semua undang-undang jalan raya. Bagi penggunaan dalam kawasan kilang, had laju di dalam perkarangan kilang adalah 15 Km/j.

4. Patuhi semua papan tanda jalan. Bagi penggunaan dalam kilang, pastikan anda mematuhi arah laluan masuk/keluar. Kenalpasti dan patuhi jenis laluan (laluan pejalan kaki, laluan trak angkat susun dan laluan kenderaan berat).

5. Letakkan kenderaan di tempat yang telah di sediakan oleh GL. Pastikan kenderaan anda dikunci bagi mengelakkan kecurian.

5 ulasan:

Frodo Baggins berkata...

errrr ~ sangat panjang ... x cukup nafas nak abiskan ... huhuhuhu
lu HSE ofcer ke?


>>___<<

nurul afiqah binti ahmadoon berkata...

wow....fantastic!!!
u hv done a great job!!
tq 4 helping us in the making of our asngmentttttt!!!

Admin-Urbabystore berkata...

Thank you so much!! i happen to found your blog when I search for SOP untuk forklift. The paperwork really give me a headache. Your blog post really, really help me a lot.

Thks a lot and wish you have a nice day.

Hisyam Abu Hassan berkata...

Ok thanks for visit my blog!

intan farid berkata...

hi bro.. thanks ya dengan info-info yg tlah disediakan. senang sikit nak tolong compny wat polisi syarikat yg baru. huhu thank

Digital clock - DWR